Nasyid Sautu Haq memukau
utusanjohor@utusan.com.my
JOHOR BAHRU 3 Jun - Bagaikan berada di padang pasir!
Begitulah reaksi spontan apabila mendengar lagu-lagu nasyid berirama padang pasir yang dipersembahkan oleh kumpulan Sautu Haq yang dianggotai sekumpulan anak muda dari Taman Saujana Johor Bahru.
Kelunakan suara vokal utama oleh ketua kumpulan itu, Mohd. Arif Akbar Majid, 20, dengan dibantu suara harmoni penyanyi lain dan alunan pukulan darbuka dan petikan gambus melengkapkan lagi melodi dan irama lagu-lagu nasyid tersebut.
Dalam persembahan Sautu Haq pada satu majlis rasmi baru-baru ini, para pendengar terpukau dengan lagu-lagu yang dimainkan sehingga ada penonton yang meminta kumpulan itu memainkan lagi beberapa lagu walaupun persembahan sudah tamat.
Sautu Haq adalah sebuah kumpulan yang membawa lagu-lagu tradisi Islam seperti selawat, qasidah dan zikrullah bertujuan membangkitkan kembali budaya seni muzik mengikut acuan Islam.
Apatah lagi kemerduan suara mereka membacakan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW menambahkan lagi kesyahduannya.
Para penonton berasa begitu asyik dan terpesona sambil turut berselawat bersama-sama.
Selain cuba memartabatkan kesenian Islam dalam bentuk nasyid, Mohd. Arif berkata, lagu-lagu Sautu Haq juga memberi alternatif kepada masyarakat Islam khususnya penggemar nasyid untuk menikmati irama tulen dan tradisi yang asli.
Tidak dinafikan lagu-lagu nasyid kini menjadi keperluan halwa telinga bagi kebanyakan penggemar muzik khususnya golongan remaja di negara ini.
Selain menjadi alternatif kepada muzik di pasaran, lagu nasyid yang sarat dengan lirik berunsur dakwah dan nasihat dapat membimbing dan menenangkan jiwa pendengar sambil berhibur dengan alunan muzik yang mengasyikkan.
Arif berkata, Sautu Haq yang ditubuhkan pada 2002 mahu mengajak masyarakat kepada kebaikan dengan mesej-mesej dan nasihat khususnya kepada golongan muda.
Beliau berkata, lagu-lagu yang dihasilkan adalah digubah berpandukan kepada syair-syair ulama, peribahasa dan gurindam Arab dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
Menurutnya, kumpulan tersebut dianggotai oleh 13 anak muda manakala Arif dan adiknya, Muhamad Adib, 14, lebih banyak menggubah lagu dan lirik.
Katanya, irama padang pasir terbahagi kepada empat alunan iaitu syarah, dehafe, samrah (zapin), saidi dan masri yang menggunakan alat muzik darbuka iaitu gendang Arab bersama gambus, keyboard, tamborin dan suara harmoni ahli kumpulan.
Kumpulan tersebut berasa puas kerana dapat menyampaikan mesej berunsur Islam kepada masyarakat, lebih-lebih lagi masyarakat pada waktu ini dahaga dan tercari-cari muzik pilihan selain daripada muzik sedia ada di pasaran.
Menurutnya, Sautu Haq yang menampilkan irama tradisi adalah berbeza dengan sesetengah kumpulan nasyid lain yang pada waktu ini cuba menampilkan irama berkonsep kontemporari.
Pada waktu ini, Suatu Haq aktif mengadakan persembahan di pelbagai majlis sama ada secara rasmi atau tidak manakala album rakamannya pada waktu ini masih diedarkan secara terhad bagi tujuan promosi.
Orang ramai yang mahu mendapatkan maklumat mengenai kumpulan tersebut boleh melayari laman web mereka di www.sautuhaq.blogspot.com atau laman sosial, Facebook dengan menaip nama kumpulan tersebut.
No comments:
Post a Comment